Sinopsis Bujang Haji

Mengisahkan tentang tiga sahabat bujang iaitu Yus, Adi dan Ucup yang bekerja sebagai penjual ikan segar di pasar harian. Rutin harian mereka adalah rutin harian biasa yang dilalui oleh anak muda setempat yang lain. Semuanya berubah apabila Haji Isa datang ke gerai mereka untuk membeli ikan. Haji Isa mahu mengadakan kenduri doa selamat, menjamu laksa kepada orang kampung sebagai tanda syukur dia terpilih untuk melaksanakan ibadah haji dalam masa terdekat.

Bermula detik itu, Yus, Adi dan Ucup seperti terpanggil dan mendapat semangat baru untuk turut ke kota suci Mekah melaksanakan rukun islam kelima itu. Mereka semakin sibuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan bekalan kewangan yang cukup agar urusan haji mereka berjalan lancar.

Ketiga-tiga mereka bekerja keras untuk mencapai misi suci ini. Pelbagai peristiwa berlaku apabila masing-masing saling berlumba-lumba menunjukkan kesungguhan dan juga semangat mereka untuk menunaikan haji. Antara yang memeningkan adalah konflik percintaan.

Yus, Adi dan Ucop tersepit di antara niat suci mereka ke Mekah dan kehendak kekasih masing-masing. Kekasih Yus, Adi dan Ucop sibuk mengajak mereka untuk mencari kelengkapan persiapan Aidiladha sedangkan mereka sudah kesuntukan masa untuk melaksanakan persiapan akhir ke Mekah.